KUALA LUMPUR – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah selamat tiba di Sagaing, Myanmar, bagi melaksanakan misi kemanusiaan dan membantu operasi mencari serta menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu.
SMART dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) tiba di kawasan bencana selepas hampir 24 jam perjalanan dengan bantuan serta iringan pihak polis.
“Sebaik tiba di lokasi operasi, pasukan segera mendirikan Pusat Operasi (BoO) bagi melancarkan misi bantuan.
“Kontinjen Komander juga mengadakan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (LEMA) yang diwakili pegawai daerah, U Myaw Swar Maung Soe,” katanya.
Terdahulu, seramai 50 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Naypyidaw menggunakan dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Misi ini diketuai Komander Kontinjen PgKB I Mohamad Hafiezul Abdul Halim dan disertai 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia, 13 anggota Polis Diraja Malaysia, serta 21 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – MalaysiaGazette