KUALA LUMPUR – Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) hari ini menegaskan sebarang tindakan pengambilalihan Menara KL oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) pada Syawal kedua adalah tidak sah.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh menerusi kenyataan berkata, pihak yang berkaitan sepatutnya menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah sebelum bertindak.
“Sebarang cubaan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur tanpa keputusan rasmi mahkamah adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.
Jelasnya, sebarang gangguan operasi mercu tanda tersebut boleh menjejaskan industri pelancongan dan pengalaman pengunjung terutamanya dalam tempoh perayaan Aidilfitri.
“Dalam musim perayaan ini, Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur.
“Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong serta mencemarkan keharmonian perayaan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, pihaknya berpegang kepada prinsip undang-undang.
Sehubungan itu, Abdul Hamid berharap semua pihak yang berkepentingan menghormati prosedur yang sedang berjalan.
“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” tambahnya.
Dalam masa yang sama katanya, Hydroshoppe dan MKLSB berharap operasi di Menara Kuala Lumpur dapat berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan sehingga keputusan perbicaraan dimuktamadkan.
Baru-baru ini media melaporkan Hydroshoppe menyaman kerajaan bagi menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL.
Hydroshoppe sebagai plaintif pertama dan anak syarikatnya MKLSB plaintif kedua turut menyaman empat pihak lain termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Turut dinamakan sebagai defendan, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.
Kerajaan didakwa menamatkan perjanjian tersebut secara salah pada November 2022 dan memberikan konsesi pengurusan menara itu kepada LSH Service Master Sdn Bhd pada Mei tahun lalu.- MalaysiaGazette