BUTTERWORTH – Meskipun bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan ketinggian hanya 117 sentimeter, Nurul Izzah Mohd Asri membuktikan kekurangan diri bukan alasan untuk bergantung kepada orang lain.
Berbekalkan kemahiran menjahit, gadis kerdil dari Kampung Petani, Merbau Kudung ini kini bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa dan menerima tempahan pelanggan tetap.
Tambah Nurul Izzah, minatnya dalam bidang jahitan bermula sekitar tahun 2015 selepas menghadiri kelas asas menjahit.

“Selepas SPM, saya tidak pasti mahu buat apa. Ibu mencadangkan saya mengikuti kelas memasak atau menjahit. Saya memilih memasak tetapi kerana dapur tinggi dan agak berbahaya untuk saya, ibu mencadangkan kelas jahitan.
“Pada mulanya, saya lebih tertarik dengan bidang masakan, namun kekangan fizikal menyebabkan saya memilih jahitan sebagai kerjaya utama,” katanya.
Mengulas lanjut Nurul Izzah berkata, dia berdepan beberapa cabaran antaranya termasuk mengambil ukuran badan pelanggan dan memotong kain kerana perlu memanjat kerusi.
Namun, dengan semangat tinggi, dia kini mampu menyiapkan dua pasang baju sehari di bengkel jahitannya yang dibina bersebelahan rumah keluarga.

“Bagi pelanggan lelaki, saya lebih selesa meminta mereka membawa contoh baju untuk diukur kerana bimbang bersentuhan.
“Manakala bagi pelanggan wanita yang bersaiz lebih besar daripada saya, proses mengukur badan agak mencabar kerana saya perlu bantuan tetapi dalam menjahit, saya tidak menghadapi masalah kerana sudah biasa,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengalaman manis, Nurul Izzah berkata, dia pernah menerima tempahan kemeja batik biru muda dua tahun lalu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika beliau (Anwar) melawat Pulau Pinang, saya sendiri mengambil ukuran badan pemimpin utama negara dengan memanjat kerusi,” katanya sambil menambah turut menerima tempahan daripada Nurul Izzah Anwar. – MalaysiaGazette