Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (dua kanan) menunjukan kenyataan akbar kepada wartawan ketika sidang media di Pintu Masuk Menara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan HydroShoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh kesal terhadap cubaan pengusiran secara paksa pada malam pertama Syawal yang disifatkan sebagai kejam dan melanggar proses undang-undang.

Menurutnya, insiden yang hampir berlaku malam ini turut mencabar kewibawaan mahkamah kerana kes berkaitan masih dalam perbicaraan.

Namun dakwa beliau, tindakan itu berjaya dielakkan hasil pendedahan media serta kerjasama agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pagar utama di pintu masuk dikunci ketika sidang media di Menara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

“Saya tidak boleh bersoal jawab dengan media berikutan kes ini kini berada di mahkamah namun malam ini kami bersyukur kerana agensi penguat kuasa tidak terpengaruh dengan usaha pihak tertentu untuk menindas sebuah syarikat Bumiputera yang telah berbakti kepada negara.

“Ura-ura penyalahgunaan kuasa juga dapat dipatahkan pada malam ini,” katanya ketika ditemui media di luar pekarangan Menara KL, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hamid berkata, HydroShoppe dan MKLSB memperoleh konsesi sah bagi pengurusan Menara Kuala Lumpur selama 15 tahun bermula 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2039.

Jelasnya, UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta), Kementerian Komunikasi dan kerajaan telah bersetuju memberikan konsesi kepada Hydroshoppe dan MKLSB, syarikat 100 peratus milik Bumiputera selama 15 tahun bermula 31 Disember 2024 hingga 31 Disember 2039.

Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (tengah) ketika sidang media di Pintu Masuk Menara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

“Pada 9 November 2022, pihak UKAS, Kementerian Komunikasi, kerajaan, Hydroshoppe, dan MKLSB turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi selama 30 tahun sehingga 31 Disember 2054.

“Ini adalah bukti kami memperoleh hak pengurusan ini secara sah, tanpa sebarang penyelewengan. Kami telah mematuhi semua syarat ditetapkan dan menjalankan tanggungjawab kami dengan penuh amanah.

“Dakwaan bahawa kami tidak berpengalaman dan merupakan syarikat baharu adalah satu fitnah kerana MKLSB telah menguruskan operasi Menara Kuala Lumpur sejak ia didirikan, lebih daripada 30 tahun yang lalu,” tegasnya.

Beliau turut menggesa supaya pihak yang terlibat agar menghormati proses mahkamah dan tidak melakukan intimidasi di luar mahkamah pada masa ini. 

“Kami bukan sahaja memperjuangkan hak kami tetapi juga hak semua usahawan bumiputera yang sering dianaktirikan di tanah air sendiri.

“Di saat rakyat lain bergembira menyambut Hari Raya, kami terpaksa berjuang mempertahankan hak. Kami tidak meminta simpati cuma menuntut keadilan,” ujarnya.

Hydroshoppe ketika ini sedang menyaman kerajaan bagi menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL.

Hydroshoppe sebagai plaintif pertama dan anak syarikatnya MKLSB sebagai plaintif kedua turut menyaman empat pihak lain termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Turut dinamakan sebagai defendan, LSH Service Master Sdn. Bhd., LSH Best Builders Sdn. Bhd. dan Service Master (M) Sdn. Bhd.

Kerajaan didakwa menamatkan perjanjian tersebut secara salah pada November 2022 dan memberikan konsesi pengurusan menara itu kepada LSH Service Master Sdn Bhd pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette

Pengambilalihan Menara KL esok tidak sah – MKLSB

Hydroshoppe, MKLSB bakal diusir adakan sidang media malam ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here