Antara rumah-rumah di sekitar Kg Tengah yang terbakar teruk kerana bahang kebakaran insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height di Puchong Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

PUCHONG – Keadaan Kampung Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini yang terjejas akibat kebakaran saluran paip milik Petronas pagi tadi kini seperti medan perang.

Deretan kediaman yang menjadi tempat berteduh dan berkumpul keluarga kini hangus terbakar.

Ada rumah yang musnah 100 peratus, ada pula yang tinggal rangka dengan kerosakan mencecah 80 peratus.

Kereta-kereta yang terparkir turut musnah dijilat api, meninggalkan hanya rangka besi yang berjelaga hitam.

Kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights itu berlaku dengan begitu pantas, mencetuskan suasana cemas dan penuh panik dalam kalangan penduduk.

Antara rumah-rumah di sekitar Kg Tengah yang terbakar teruk kerana bahang kebakaran insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height di Puchong Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi turut merasai bahang panas hingga dirasai kulit, disertai pedih mata akibat asap tebal yang masih berkepul-kepul di udara.

“Ini rumah ayah saya, kami datang sempena Aidilfitri. Ketika kejadian, semua sedang tidur nyenyak. Ada warga emas, ada kanak-kanak. Kita dengar bunyi meletup,”

Itu luahan penuh emosi Hisyam Yaacob, salah seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, yang tidak dapat melupakan detik hitam tersebut.

Suasana pagi yang sepatutnya penuh dengan gelak tawa keluarga menyambut Syawal bertukar menjadi cemas sekelip mata apabila letupan kuat itu mengejutkan seluruh penghuni rumah.

Kata Hisyam, tanpa sempat berfikir panjang, mereka bangkit dari tidur dan dikejutkan dengan pemandangan menggerunkan, kelihatan api marak asap berkepul di udara berhadapan rumah mereka.

“Bila bangun, terkejut tengok bahang api yang sedang terbakar itu kena rumah-rumah kami. Sederet semuanya. Kami hendak keluar pun tidak boleh. Bahang bakar itu boleh rasa. Selipar pun terbakar,” kata Hisyam bernada nada sebak.

“Walaupun ketakutan menyelubungi diri, kami tidak mempunyai pilihan selain meredah api demi menyelamatkan nyawa insan tersayang. Anak-anak melecur dan warga emas yang tidak berdaya terpaksa digagahkan untuk keluar dari perangkap api itu.

“Tapi kerana hendak selamat, walaupun ada kalangan anak-anak kecil melecur, kami redah juga. Memang sangat menakutkan. Kita tahu ada kebakaran saluran paip gas, tapi bahang itu kena kampung kami. Putra Heights di sebelah sana,” ujarnya.

Hisyam Yaacob, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru

Dalam pada itu, pengamatan di lokasi mendapati suasana pilu menyelubungi penduduk kampung yang tergamam melihat rumah-rumah mereka musnah dijilat api.

Tangisan, kesedihan, dan kekeliruan jelas terpancar pada wajah-wajah mereka yang kehilangan tempat berteduh sekelip mata.

Dalam kesibukan itu, kelihatan seorang wanita cemas mencari kucing kesayangannya yang bernama Oyen, dipercayai terperangkap sejak pagi tadi.

Semua penduduk telah diarahkan berpindah demi keselamatan, namun wanita itu tidak mampu meninggalkan kawasan rumahnya tanpa menemui si bulus kesayangannya.

Bomba yang berada di lokasi menasihati wanita tersebut agar tidak menghampiri kawasan rumahnya yang hampir 80 peratus terbakar, namun rayuannya tidak terhenti namun dengan linangan air mata, dia memohon kebenaran untuk mencari Oyen.

Setelah lebih sejam meredah serpihan bangunan dan bara api, akhirnya wanita itu berjaya menemui Oyen, kucing oren itu berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, namun selamat.

Wanita itu berjaya mencari kucing kesayangannya, Oyen selepas ‘hilang’ beberapa jam selepas kebakaran.

Tangisannya bertukar menjadi kesyukuran apabila dapat memeluk erat kucing kesayangannya itu, seolah-olah melupakan seketika segala musibah yang menimpa.

Terdahulu media melaporkan JBPM sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here