SUBANG JAYA – Bermula hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri melaksanakan kawalan ketat di pusat penempatan sementara (PPS), Masjid Putra Heights bagi menjaga privasi mangsa kebakaran paip gas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mendapat laporan malam tadi bahawa mangsa-mangsa tidak ‘selesa’ dengan kehadiran pelbagai pihak di PPS berkenaan sejak beberapa hari lalu.
“Kita dapat laporan bahawa sebahagian penghuni sudah ‘jenuh’ dan letih membuka tirai (khemah) masing-masing, jadi kita akan hadkan sedikit,” ujarnya ketika ditemui wakil media selepas melawat mangsa di masjid berkenaan.
Amirudin berkata, khemah-khemah di pekarangan masjid akan ditambah bagi memudahkan urusan keluarga yang melawat ahli keluarga yang terkesan.
Ujar beliau, langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa-mangsa terjamin sepanjang tempoh penempatan.
Beliau menyatakan, pihaknya sempat melawat mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di Hospital Ampang, dekat sini yang menghadapi masalah pernafasan manakala isterinya dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kerajaan negeri bakal menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden letupan yang akan memulakan sesi persekolahan, Isnin ini.
Ujarnya, bantuan berbentuk pakaian dan peralatan persekolahan itu akan disumbangkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
“Saya juga dimaklumkan Kementerian Pendidikan turut memberi sumbangan bernilai RM1,000 kepada setiap murid yang terkesan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han. – MalaysiaGazette