Zaiful Ibrahim,dan Zullaila Mahmud, membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri, Zaiful Ibrahim, 53, dan Zullaila Mahmud, 51, merayu siasatan telus dan adil dilakukan segera berhubung kematian anak mereka yang dilaporkan lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Menurut Zaiful, selepas kira-kira lima bulan kejadian itu, keluarganya tidak mendapat sebarang perkembangan terkini berhubung kejadian sebenar yang menimpa anaknya, Muhammad Zulfan Iqbal, 16.

Menceritakan lebih lanjut, Zaiful berkata, berdasarkan apa yang dimaklumkan pihak sekolah, Muhammad Zulfan Iqbal yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter pada hari kejadian.

Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful (berbaju hijau). – Foto: IHSAN KELUARGA

Ujarnya, laporan polis yang dibuat oleh jurulatih pasukan bola sepak sekolah berkenaan berhubung kejadian itu menjurus kepada kejadian kemalangan biasa.

Namun, ujarnya, berdasarkan maklumat saksi kejadian termasuk rakan-rakan anaknya, arwah telah tenggelam ke dasar kolam itu antara 15 ke 20 minit sebelum berjaya dinaikkan oleh seorang atlet renang yang berada di lokasi kejadian.

“Jadi timbul tanda tanya sekiranya kejadian menimpa anak kami ini adalah disebabkan kecuaian pihak tertentu, justeru kami mahu menuntut keadilan sewajarnya untuk arwah.

“Sikap berdiam diri pihak berwajib berhubung hasil siasatan kejadian ini sehingga kini juga menimbulkan persoalan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Apatah lagi sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan (KPM) kepada keluarga kami susulan kejadian ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

AHLI keluarga Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful bersama peguam Hafiz Norkhan di pejabat Hafiz Imran & Co. di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Zaiful dan Zullaila dengan ditemani peguam mereka, Hafiz Norkhan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Sementara itu, Hafiz berkata, kejadian kemalangan melibatkan kehilangan nyawa pelajar di premis sekolah berasrama penuh disifatkan amat serius dan tidak wajar dipandang ringan.

Jelasnya, sebarang kecuaian dalam aspek pemantauan, keselamatan dan tatacara latihan perlu ditangani secara menyeluruh supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Lebih mendukacitakan, ujarnya, kemalangan itu melibatkan seorang atlet berpotensi tinggi yang mana Muhammad Zulfan Iqbal yang bermain di posisi penjaga gol sebelum ini pernah mendapat perhatian pasukan remaja Johor Darul Takzim (JDT).

“Kita juga berharap keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat mangsa dan keluarganya memandangkan sehingga kini pihak keluarga langsung tidak menerima sebarang maklum balas rasmi sama ada daripada KPM atau polis berhubung kejadian yang menimpa anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here