GAMBAR HIASAN - Foto AFP

HANOI – Komuniti perniagaan Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) di negara itu meminta pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan rancangan tarif sebanyak 46 peratus ke atas barangan dari Vietnam.

Menurut mereka, cukai itu akan memberi kesan negatif kepada komuniti perniagaan tersebut dan hubungan perdagangan dua hala.

Kebimbangan itu disuarakan Dewan Perdagangan dan Industri Vietnam (VCCI) dan Dewan Perniagaan Amerika (AmCham) di Hanoi menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, Sabtu lalu.

Menerusi surat itu, kedua-dua dewan perniagaan berkenaan turut menyifatkan tarif timbal balik terbaharu AS ke atas Vietnam yang akan berkuat kuasa pada Rabu ini seabagai terlalu tinggi dan mengejutkan.

“Tarif yang lebih rendah untuk produk yang memasuki Vietnam dan produk yang sampai kepada pengguna Amerika Syarikat adalah perkara yang akan membantu syarikat-syarikat AS, ekonomi dan pengguna,” kata AmCham dan VCCI dalam satu kenyataan seperti dilaporkan portal BangkokPost hari ini.

AmCham dan VCCI menambah, satu perjanjian yang cepat dan adil akan menambah kepastian kepada perniagaan serta membantu membetulkan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara dengan cara yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Vietnam yang merupakan negara pangkalan pembuatan serantau utama bagi kebanyakan syarikat dari Barat, mencatat lebihan dagangan lebih AS$23 bilion dengan AS, yang merupakan destinasi eksport terbesarnya pada tahun lalu.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam dan Trump dilaporkan bersetuju untuk membincangkan satu perjanjian bagi menghapuskan tarif tersebut selepas satu panggilan telefon yang disifatkan Trump sebagai `amat produktif’.

Malah, sebelum pengumuman tarif global oleh Trump pada Rabu lalu, Vietnam telah mengurangkan beberapa duti sebagai sebahagian daripada siri konsesi kepada AS, termasuk janji membeli lebih banyak barangan dari negara itu seperti kapal terbang dan produk pertanian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here