KUALA LUMPUR – Lebih 118,000 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara mendaftar masuk ke kolej kediaman sempena permulaan sesi akademik Mac 2025 bermula semalam.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, pendaftaran selama dua hari itu melibatkan pelajar baharu dan lama di semua kampus induk dan cawangan UiTM seluruh negara.
“Pada hari pertama pendaftaran, seramai 38,389 pelajar baharu telah melapor diri.
“Proses pendaftaran berjalan lancar hasil kerjasama erat pihak pengurusan kolej, sukarelawan pelajar, serta sokongan teknikal dan logistik jabatan terlibat yang bertugas sejak awal pagi.
“Komitmen dan semangat mereka amat membanggakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sazili turut menasihatkan pelajar baharu supaya memanfaatkan peluang menimba ilmu di UiTM dengan disiplin dan iltizam yang tinggi.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pendaftaran pelajar kolej kediaman menandakan permulaan program orientasi dan suai kenal bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kepulangan pelajar ke kampus dan menyifatkan kehadiran semester baharu turut membawa bersama semangat baharu.
“UiTM sentiasa mendukung aspirasi pelajar untuk cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut menyerlah dalam sahsiah dan kepimpinan.
“Kami percaya kehadiran pelajar-pelajar ini akan terus menyemarakkan budaya ilmu di kampus,” katanya.
Tambah beliau, UiTM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia, berlandaskan misinya dalam memperkasakan Bumiputera melalui pendidikan berkualiti dan inklusif. – MalaysiaGazette