KUALA LUMPUR – `Abang Belon’ mempertikai tindakan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengasarinya dalam kekecohan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini.
Katanya, semasa insiden itu dia sedang mencari rezeki halal dengan berniaga belon dan bukannya menjual dadah.
Muhammad Za’imuddin Azlan, 29, turut mempersoal mengapa dia dilayan sebegitu rupa sedangkan dia perlu mencari wang untuk membiayai kos pembedahan penyakit hernia yang dihidapinya.
Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sepatutnya menjalani pembedahan pada 18 April ini, namun terpaksa ditunda ekoran kecederaan tersebut.
“Adakah sebab saya pernah ada kes, saya tidak boleh cari rezeki halal? Saya tidak jual dadah. Kalau saya bekas penjenayah, maka saya boleh dipukul, ditendang, diterajang, dicekup leher dan diperlakukan zalim?
“Kalau saya ada kes lampau adakah itu lesen untuk siapa-siapa sahaja boleh pukul saya? Kalau saya miskin, susah dan ada kes lampau adakah DBKL boleh layan saya macam sampah?
“Kalau saya ada kes lampau, adakah maksudnya saya tidak ada tempat untuk lawan orang yang buat salah dengan saya?” demikian dalam nada sebak, hari ini.
Muhammad Za’imuddin ditemui wakil media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini berhubung insiden dikasari penguat kuasa DBKL pada 28 Mac lalu.

Dalam kenyataannya, `Abang Belon’ berkata, dia menyerahkan kepada peguamya untuk menjawab isu berhubung kes lampau yang memetik sumber seperti yang dilaporkan oleh pihak media.
Ujanya, dia berniaga belon secara sambilan ketika bulan Ramadan kerana kerja sepenuh masa sebagai kedi golf tidak begitu banyak ketika itu.
Menurut Muhammad Za’imuddin, dia membuat laporan polis demi mempertahankan diri dan maruah keluarga yang tercalar ekoran kejadian itu.
“Komen dan kata-kata menghina, saya doakan perkara yang kena pada saya tidak akan dilalui oleh anda semua. Saya lihat video saya dipukul viral. Saya mohon maaf pada ibu, ayah dan kakak serta adik saya.

“Saya hendak berubah. Bukan mudah jadi orang miskin dan susah. Saya akan lawan sebab perkara ini zalim,” katanya yang turut meminta pihak berkuasa menjaga integriti dan bertindak berlandaskan undang-undang.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan daripada ibu ‘Abang Belon’ berhubung kekecohan yang melibatkan penguat kuasa DBKL, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan itu dibuat tengah malam Ahad lalu dan polis sudah merakam keterangan lima individu berhubung insiden itu.
Mengulas lanjut, Sulizmie Affendy memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
- https://malaysiagazette.com/2025/03/29/abang-jual-belon-diperlakukan-seperti-binatang-pemuda-umno-akan-tuntut-keadilan/
- https://malaysiagazette.com/2025/04/04/kes-peniaga-belon-dbkl-dua-daripada-tiga-kertas-siasatan-diserahkan-ke-tpr/
- https://malaysiagazette.com/2025/03/31/mana-bukti-abang-belon-ditegur-tiga-kali-sanjeevan/
Kalau dia salah tak de lesen..kompaun atau saman je laa..yg DBKL hempuk dia mcm penjenayah tu dah kenapa?? Dia ada bawa pisau kaa?? Parang kaa? pistol kaaa? Dia cari rezeki halal..bukan jual dadah ker…kisah lampau rasuah DBKL lagi teruk…termasuk lah kes Tim Pengarah Penguatkuasa DBKL didakwa makan rasuah rumah persundalan…kenapa korang tak hempuk kepala Tim Pengarah tu bangang