KUALA LUMPUR – Seorang peguam mempersoal laporan media yang memetik sumber menyatakan ‘Abang Belon’ mempunyai 13 rekod jenayah.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, isu berkenaan rekod lampau tidak harus dibangkitkan pada peringkat ini.
Jelasnya, rekod lampau hanya digunakan di mahkamah jika individu mengaku bersalah atau disabitkan terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Ujar beliau, rekod lampau akan dikemukakan sebagai faktor-faktor pemberatan oleh pihak pendakwaan yang mahukan hukuman lebih tinggi.
“Walaupun ada kes jenayah lampau, dah masuk penjara atau kena denda, ia tidak langsung menghalalkan sebarang perbuatan melampau pihak penguat kuasa.
Adakah kerana dia hina sangat, dah jadi penjenayah dia boleh diperlakukan sebegitu rupa?
“Dia tidak melakukan kesalahan lain seperti jual dadah, kesalahan seksual atau mengganggu gugat negara,” ujar beliau kepada wakil media selepas ‘Abang Belon’ membuat laporan polis berkaitan insiden itu hari ini.

Peniaga itu atau nama sebenaranya, Muhamad Za’imuddin Azlan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pukul 11.09 pagi.
Menurut Muhammad Rafique, laporan polis itu yang pertama dibuat oleh mangsa selepas beberapa laporan oleh pihak-pihak lain berhubung insiden tersebut.
Ketika ditanya sama ada Muhamad Za’imuddin akan mengemukakan saman terhadap kerajaan, peguam itu berkata, perkara tersebut hanya akan dibuat selepas laporan perubatan siap sepenuhnya.
“Setakat ini kita hanya menerima laporan perubatan ketika keluar hospital berkaitan insiden. Perkara pertama adalah kita buat laporan polis dulu.
“Laporan polis ini adalah langkah pertama dan sama ada terdapat tindakan undang-undang yang akan menyusul, mengikut arahan yang saya terima semalam Za’im dan keluarga berhasrat meneruskannya,” ujar beliau.
Peguam itu turut menyifatkan dakwaan bahawa peniaga itu berlakon dan dia ‘ditunggang’ oleh parti-parti politik, sebagai tidak berasas – MalaysiaGazette
patah/retak tulang belakang??? boleh duduk atas kerusi roda????????