PUCHONG – Suasana di pusat kawalan operasi insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights hari ini dilihat penuh dengan aktiviti oleh pelbagai agensi keselamatan yang terus menjalankan pemantauan dan kerja-kerja penyelarasan sejak Selasa lepas.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, penduduk sekitar Jalan Putra Harmoni yang paling teruk terjejas dibenarkan masuk kira-kira 30 hingga 40 minit bagi mengambil barangan keperluan serta meninjau keadaan rumah mereka buat pertama kali sejak tragedi itu berlaku.
Walaupun dibenarkan untuk pulang dalam tempoh yang singkat, riak sayu dan hiba jelas terpancar pada wajah penduduk-penduduk saat keluar dari kawasan perumahan tersebut.
Ramai yang dilihat menahan sebak apabila melihat kediaman yang selama ini menjadi tempat berteduh rosak teruk, dipenuhi serpihan bumbung, kaca pecah dan kesan kebakaran yang menghitamkan dinding rumah.
Dalam pada masa sama, kawalan keselamatan di lokasi kejadian diperketatkan pihak berkuasa.
Pihak media hanya dibenarkan berada di khemah sementara yang didirikan bertentangan dengan lokasi serta tidak mendapat kebenaran untuk masuk dan merakam secara dekat kawasan terjejas.

Percubaan MalaysiaGazette untuk mendapatkan akses ke dalam lokasi bagi membuat dokumentasi visual dan menemubual penduduk turut tidak dibenarkan.
Kru kami dimaklumkan bahawa hanya media rasmi yang diberikan kelonggaran setakat ini.
Menurut seorang anggota keselamatan yang enggan dikenali, penduduk sendiri telah memohon kepada pihak berkuasa agar tiada kehadiran media buat sementara waktu kerana mereka masih dalam keadaan trauma.
“Bagi tempoh ‘cooling off’ dulu. Penduduk sendiri minta ruang untuk bertenang. Dalam sehari dua lagi, bila keadaan reda, barulah media boleh mohon untuk masuk,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Usaha MalaysiaGazette untuk meninjau kawasan berhampiran seperti Kampung Kuala Sungai Baru juga tidak berjaya apabila semua laluan termasuk lorong-lorong kecil yang biasa digunakan penduduk telah ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.
Ketua Kampung Batu 13, Fiqrie Jusdean, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Atas faktor keselamatan, pihak berwajib telah menutup semua akses ke kawasan terjejas. Hanya penduduk dan agensi berkaitan dibenarkan masuk. Saya sendiri pun tidak bebas masuk, kecuali ada keperluan mendesak. Saya mohon maaf, tidak dapat bantu lebih dari itu,” ujarnya.
Salah seorang penduduk, Wee Vit Shuen, yang sempat masuk untuk melihat sendiri rumahnya sebak apabila melihat keadaan kediamannya yang musnah dan tidak lagi selamat.
“Penuh dengan serpihan bumbung, kaca dan macam-macam lagi. Bau asap masih kuat dan dinding rumah pun dah mula merekah. Memang tidak selamat lagi untuk kami tinggal,” katanya.
Kejadian letupan paip gas yang menggegarkan Putra Heights baru-baru ini bukan sahaja merosakkan puluhan rumah, malah telah menyebabkan puluhan keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara. -MalaysiaGazette