SUNGAI PETANI – Tujuh buah kenderaan termasuk sebuah motosikal dilaporkan mengalami kerosakan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 106.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, di sini, malam tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut namun seorang penunggang motosikal turut dilaporkan cedera pada jari dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 12.40 tengah malam membabitkan lima buah kereta, sebuah pikap serta sebuah motosikal.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan-kenderaan terlibat melanggar belakang sesama sendiri selepas kereta pertama jenis Perodua Myvi dipandu lelaki 25 tahun telah membrek.
“Sebuah motosikal yang terlibat tidak sempat mengelak sebelum melanggar sebuah pikap jenis Toyota Hilux dan terbalik.
“Kejadian tidak membabitkan kecederaan pemandu kenderaan selain penunggnag motosikal cedera, manakala kenderaan terlibat mengalami beberapa kerosakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah- kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). – MalaysiaGazette