KUALA LUMPUR – Pemain beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King menyasarkan sekurang-kurangnya layak untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China yang membuka tirainya esok.
Wan Muhammad Arif berkata segala persiapan yang dilakukan bersama pasangannya berjalan baik seperti yang dirancang, sambil berharap ia dapat membantu mereka mencapai sasaran berkenaan.
“Persiapan kami sama seperti sebelum ini dan harap tiada apa-apa yang luar jangkaan berlaku sebelum BAC nanti. Kami juga sasar untuk mara ke peringkat suku akhir, dan harap mampu melakukan kejutan ketika menentang pasangan terbaik dari negara lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasangan yang berada di ranking ke-19 dunia itu akan membuka tirai kempen BAC menentang pasangan Singapura Wesley Koh-Junsuke Kubo di pusingan pertama.
Sekiranya berjaya melangkah ke pusingan kedua, tugas sukar menanti pasangan negara itu apabila dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China yang diramal tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Taiwan Fan Jen Lee-Fang Jen Lee di pusingan pertama.
Sementara itu ketika ditanya berkenaan ketiadaan pasangan utama India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, Wan Arif berkata beliau berpandangan ia tidak memberi kesan besar kepada pasangan negara.
“Bagi saya ketiadaan mereka (Rankireddy-Chirag) tidak beri kesan besar kepada pasangan Malaysia sebab ini kejohanan Asia dan tidak ada pemain Eropah.
“Seperti kita tahu, pasangan dari asia juga kuat, jadi kita tidak boleh pandang rendah terhadap sesiapa dan perlu bersedia sepenuhnya,” katanya. – BERNAMA