KUALA LUMPUR – Bek kental Penang FC, Rafael Vitor kini tinggal selangkah untuk memperkasakan benteng pertahanan skuad Harimau Malaya selepas dia merupakan calon paling hampir untuk dinaturalisasikan dalam masa terdekat.
Tonggak import dari Brazil itu berkata, sekiranya dipanggil bagi memperkuatkan skuad kendalian Peter Cklamovski, beliau berjanji akan memberi sepenuh keringat dan jiwa untuk pasukan negara.
“Jika saya dapat peluang untuk sertai pasukan kebangsaan semestinya saya akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya kepada media tempatan.
Malah katanya, beliau banyak menerima input daripada dua pemain naturalisasi yang diserapkan lebih awal iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos mengenai proses, peluang dan perasaan selepas menjadi warganegara Malaysia.
Selain ketua pasukan Penang FC itu, dilaporkan tiga lagi tonggak import dalam Liga Malaysia bakal dinaturalisasi membabitkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan pemain sayap Sri Pahang, Manuel Hidalgo.
Manakala seorang lagi adalah ayam tambatan Kuching City FC, Jordan Mintah turut berada dalam radar untuk dinaturalisasikan.
Ujar Vitor, beliau difahamkan proses dokumentasi akan selesai dalam sebulan dua ini yang mana keluarganya sudah tidak sabar menanti saat itu.
“Dalam proses, mungkin dua minggu atau lebih lagi. Saya sudah lima tahun, saya dapat sokongan Penang, keluarga saya juga gembira di Penang,” katanya.
Tonggak berusia 32 tahun itu sudah beraksi di negara ini selama lima musim sekali gus membolehkan beliau dinaturalisasikan dan mengikut jejak Josue dan Endrick serta enam lagi iaitu Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero dan Romel Morales. – MalaysiaGazette