LONDON – Southampton memecat Ivan Juric selepas pengurus itu menyebabkan kelab tersebut tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kekalahan 1-3 di tangan Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.
Ia sekali gus menjadi The Saints paling awal tersingkir dalam sejarah Liga Perdana dengan baki tujuh perlawanan.
Bekas pemain antarabangsa Croatia itu dilantik pada Disember lalu bagi menggantikan Russell Martin yang dipecat selepas kekalahan memalukan 0-5 kepada Spurs di laman sendiri.
Kelab itu mengakui Juric hadir pada waktu sukar dan diberi tugas untuk memperbaiki pasukan dalam keadaan mencabar dan malangnya, prestasi yang diharapkan tidak dapat dicapai.
Juric hanya mencatatkan dua kemenangan daripada 16 perlawanan di bawah kendaliannya dalam semua kejohanan dan meraih empat mata dalam saingan Liga Perdana, menyebabkan Southampton terperosok di tangga tercorot dengan hanya 10 mata.
Buat sementara waktu, tugas pengurus akan dipangku jurulatih pasukan utama, Simon Rusk, yang turut pernah menjadi pengendali sementara selepas pemecatan Martin.
Dia akan dibantu oleh pemain tengah berpengalaman, Adam Lallana, manakala proses pencarian pengurus baharu kini sedang dijalankan. – Agensi