KUALA LUMPUR – Semakin ramai anak muda termasuk daripada kaum Melayu dan golongan wanita menunjukkan minat terhadap DAP dan ada yang telah menyertai sebagai ahli parti.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Melayu iaitu Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman dalam kenyataan bersama berkata, usaha untuk menggalakkan penyertaan baharu, termasuk daripada kalangan orang Melayu, akan terus diperkasakan selagi mana mereka mendukung prinsip dan perjuangan DAP.
“Kehadiran pemimpin Melayu dalam DAP di pelbagai peringkat – daripada Ketua Cawangan, Ahli Majlis, Ketua Kampung, Jawatankuasa Negeri, sehingga ke peringkat tertinggi parti – jelas membuktikan bahawa DAP merupakan parti yang benar-benar inklusif dan terbuka kepada semua,” demikian menurut kenyataan bersama itu hari ini.
Syahredzan merupakan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, manakala Young Syefura ialah Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.
Sementara itu, mereka dalam kenyataan tersebut menegaskan, DAP kekal komited untuk mendukung apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Dalam masa sama, ujarnya, DAP juga komited mempertahankan hak dan kepentingan sah semua kaum secara adil dan saksama.
Jeasnya, sebagai anggota CEC, mereka akan terus berusaha untuk mendekati masyarakat Melayu serta menguatkan sokongan di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para perwakilan DAP atas kepercayaan yang telah diberikan kepada kami untuk terus berkhidmat.
“Sokongan ini membuktikan bahawa para perwakilan DAP tidak mempunyai masalah untuk memilih calon Melayu, selaras dengan semangat keterangkuman yang dibawa oleh parti,” katanya.
Dalam masa sama, mereka juga komited untuk memperkukuhkan DAP bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang di bawah kepimpinan Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook. – MalaysiaGazette