KUALA LUMPUR – Polis masih menunggu laporan penuh perubatan berhubung kecederaan yang dialami Muhammad Zaimuddin Azlan atau lebih dikenali sebagai Abang Belon.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, berdasarkan laporan awal perubatan, penjaja belon itu didapati mengalami retak tulang belakang dan kecederaan pada tisu lembut akibat pergelutan dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 28 Mac lalu.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan penuh perubatan daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang (HSIS) yang dijangka siap dalam tempoh 30 hari,” katanya.
Rusdi berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/04/06/abang-belon-berisiko-lumpuh-kekal-doktor/
Semalam, Muhammad Zaimuddin, 28,memaklumkan, dia mengalami kecederaan tulang belakang ‘compression fracture T12’ berdasarkan nota discaj yang dikeluarkan HSIS.
Dia berkata demikian semasa sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira pukul 11.09 pagi, semalam.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, pihaknya tidak akan membuka kertas siasatan baharu susulan laporan polis yang dibuat oleh pemuda itu.
Katanya, polis turut merakam keterangan dua individu lain termasuk pihak yang membekalkan belon kepada Muhammad Zaimuddin.
“Kita mendapati laporan yang dibuat oleh Muhammad Zaimuddin konsisten dengan rakaman percakapan yang diambil sebelum ini.
“Laporan ini dirujuk kepada laporan terdahulu yang dibuat oleh ibu Muhammad Zaimuddin di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Manakala dua lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan pihaknya sedang menanti arahan lanjut. -MalaysiaGazette