KUANTAN – Seorang lelaki didenda RM5,000 di Mahkamah Majistret Bentong selepas mengaku bersalah mengiklankan produk merokok pada papan iklan di bahagian atas bumbung luar kedai miliknya di Genting Permai, Bentong.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berkata, lelaki berusia 35 tahun itu merupakan individu pertama di Pahang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 7(1)(c), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Kesalahan itu dikesan semasa Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Peringkat Negeri Pahang pada Januari lalu.
“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman maksimum bagi kesalahan pertama individu iaitu denda sebanyak RM20,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataannya.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Daerah Bentong.
JKNP berkata, pihaknya memandang serius kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) seperti larangan pengiklanan produk merokok.
“Tindakan mengiklankan produk merokok boleh menggalakkan orang ramai khasnya golongan kanak-kanak dan remaja membeli seterusnya menggunakan produk berkenaan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan,” katanya.
JKNP berharap hukuman itu memberi mesej yang jelas kepada pemilik perniagaan agar mematuhi peraturan undang-undang yang terkandung dalam Akta 852 yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober 2024. – MalaysiaGazette