Pegawai penyiasat, Asisten Komisioner R. Rajagopal tiba bagi perbicaraan kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 MAC 2025 (GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini dimaklumkan bahawa pihak berkuasa tidak menemui bukti pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad menerima manfaat daripada penyelewengan dana syarikat itu.

Bekas pegawai penyiasat kes 1MDB, R Rajagopal berkata, pengurusan tertinggi 1MDB seperi Azmi Tahir, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak menerima faedah hasil penyelewengan bernilai RM2.3 bilion.

Azmi merupakan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Mohd Hazem adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB manakala Shahrol Azral adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Rajagopal mendakwa, pihaknya hanya menemui sejumlah wang penyelewengan itu masuk ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sepanjang siasatan kami dan juga maklumat yang diterima daripada pasukan petugas khas yang menyiasat kes ini, kami tidak ada bukti menunjukkan Azmi, Shahrol Azral dan Mohd Hazem pengurusan tertinggi 1MDB telah menerima faedah daripada penyelewengan ini,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata demikian ketika di soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Kata Rajagopal, entiti seperti Good Star Limited, Blackstone Real Asia Estate Partners Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang tidak berkaitan dengan 1MDB telah menerima dana dalam jumlah yang besar besar daripada 1MDB.

Sebelum ini, Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mendapati terdapat aliran wang masuk ke dalam akaun Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu adalah daripada dana 1MDB.

Najib sedang membela diri empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here