KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd (PGB) sedang giat menilai impak kewangan dan operasi akibat insiden kebakaran di saluran paip utama di Putra Heights, berhampiran Puchong, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia juga memberi bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian serta mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada insiden tersebut.
“Siasatan dijangka selesai pada Mei 2025. Keutamaan tertinggi syarikat ketika kami pulih daripada insiden ini adalah memastikan keselamatan orang ramai, membantu mereka yang terjejas, dan menjaga keselamatan bekalan gas,” kata PGB.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan, syarikat itu berkata ia kini sedang menilai langkah-langkah pembaikan yang berpotensi dan sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan operasi di kawasan tersebut dapat disambung semula dengan selamat dan cekap.
“Syarikat tetap komited untuk menyelesaikan perkara ini dengan keutamaan tertinggi dan akan terus memberikan kemas kini serta pengumuman seterusnya seiring dengan perkembangan situasi,” katanya.
— BERNAMA