KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Sepang menetapkan 24 April ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen ujian air kencing membabitkan pelawak dan pelakon, Muhammad Nizamuddin Ahmad atau Along Cham, yang didakwa atas pertuduhan memiliki 1.49 gram (g) kanabis dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Keputusan itu diperintahkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Sutri Patang, manakala peguam Zaleha Al-Hayat mewakili Along, menggantikan peguam Syed Yusuf Syed Zaid.
Zaleha berkata, hanya dua dokumen sahaja telah diserahkan pihak pendakwaan.
“Pihak pendakwaan masih belum serahkan dokumen bagi saringan air kencing, jadi 24 April ditetapkan bagi pihak pendakwaan untuk serahkan dokumen kes urine.
“Hari ini hanya dua dokumen sahaja baru diserahkan iaitu membabitkan kes di bawah Seksyen 6 dan 15(1)(a),” katanya.
Bekas peserta program realiti berusia 42 tahun itu didakwa memiliki dadah di kediamannya di Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu, mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah disyaki jenis tetrahydrocannibol (THC) pada jam 10 malam, tarikh sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama Seksyen 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta dikenakan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Terdahulu, pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu. – MalaysiaGazette