KUALA LUMPUR – Siasatan dalaman berhubung insiden membabitkan tiga anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu kini di peringkat akhir.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga anggota terbabit kini direhatkan sementara susulan insiden membabitkan peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan bagi memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara menyeluruh dan adil.
“Memandangkan isu berkenaan turut menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL mengambil pendirian untuk tidak mengeluarkan sebarang ulasan lanjut buat masa ini.
“Langkah itu diambil bagi menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan memastikan ia dapat berlangsung dengan lancar, telus dan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Menurut DBKL, pendekatan itu adalah selaras dengan komitmennya bagi memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip integriti.
“DBKL sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan ini,” katanya.S
Semalam, Muhamad Za’imuddin membuat laporan polis pertama berhubung insiden kekecohan yang berlaku baru-baru ini.
Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, selepas beliau menjalani rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang susulan kecederaan tulang yang dialamnya.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu, sebelum ini terdapat beberapa laporan polis dibuat namun, ia bukan daripada Muhamad Za’imuddin. – MalaysiaGazette