Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membangunkan satu pasukan petugas (Task Force) bagi mengumpul maklum balas daripada semua pihak berkepentingan susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral oleh AS itu.

Tambahnya, MITI juga akan mengadakan perjumpaan dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport esok selain mengadakan libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM); MIDA, Matrade dan sebagainya.

“MITI akan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mempertimbangkan pelbagai pilihan yang ada.

“Pagi ini (hari ini) saya juga bertemu dengan Duta Besar AS  ke Malaysia (Edgard D Kagan) dan rundingan seterusnya akan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, di peringkat ASEAN, Menteri-Menteri Ekonomi akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tindakan AS itu Khamis ini, yang akan dipengerusikan beliau sendiri.

Ujarnya, mesyuarat itu akan membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau; kestabilan makroekonomi dan respons bersepadu yang akan diambil oleh ASEAN.

“Selepas itu, pemimpin-pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN, bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan aliran pelaburan ke rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul mengakui pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia akan berdepan impak langsung ekoran tindakan AS itu tahun ini serta kemungkinan tahun-tahun akan datang.

Jelas beliau, sebagai salah satu rakan dagangan terbesar AS di ASEAN dan juga salah satu destinasi utama pelaburan asing dari AS, pelaksanaan tarif pasti akan memberi kesan jangka pertengahan hingga jangka panjang.

“Kesan ini dijangka meluas kerana tarif juga telah dikenakan ke atas hampir setiap rakan dagang dan rakan sumber pelaburan Malaysia.

“Sekiranya lebih banyak negara melaksanakan tarif timbal balas, perang perdagangan di seluruh dunia bakal menggugat pertumbuhan ekonomi global,” katanya.

Bagaimanapun, ujar beliau, dari sudut berbeza, langkah AS itu juga akan menyaksikan sesetengah eksport Malaysia akan lebih kompetitif dalam pasaran global berbanding beberapa negara yang dikenakan tarif lebih tinggi dari Malaysia.

Ujarnya, ramai pemerhati berpendapat, langkah AS itu akan menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport dan syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan.

“Dari segi kesan penggantian atau substitution effect, eksport minyak sawit Malaysia, contohnya, akan menjadi lebih kompetitif.

“Permintaan mungkin akan beralih ke Malaysia. Minyak sawit juga mungkin lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain,” katanya.

Presiden AS, Donald Trump sempena Liberation Day minggu lalu mengumumkan tarif timbal balik baharu yang mana Malaysia tidak terkecuali apabila dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksport ke AS.

Sebagai perbandingan, negara lain yang turut dikenakan tarif timbal balik yang agak tinggi termasuk Kemboja (49 peratus); Indonesia (32 peratus); Laos (48 peratus); Myanmar (45 peratus): Thailand (37 peratus); Vietnam (46 peratus) dan China (34 peratus). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here