, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman.

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah mencadangkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyemak keseluruhan sistem pemberian lesen cari gali dan perlombongan di negeri itu.

Selain itu, Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman turut menggesa siasatan bebas dan menyeluruh dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap keseluruhan proses kelulusan lesen berkenaan.

Dalam masa sama, tambahnya, semua lesen cari gali yang dikeluarkan sejak 2023 perlu dibekukan serta-merta sehingga siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam sistem pemberian lesen tersebut selesai sepenuhnya.

“Kita juga meminta penjelasan terbuka Ketua Menteri Sabah serta menteri yang terbabit secara langsung, bukan sekadar kenyataan media separuh masak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan dakwaan pemberian Lesen Carigali Mineral di Sabah kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai rekod kewangan yang kukuh dan tiada pengalaman dalam bidang eksplorasi.

Syarikat terbabit dilaporkan menerima kelulusan untuk menjalankan aktiviti eksplorasi di kawasan seluas 17,600 hektar meliputi daerah Telupid, Beluran dan Ranau.

Sebelum ini, timbul dakwaan syarikat terbabit dikaitkan dengan individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan rapat dengan tokoh politik tertentu dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Sementara itu, Datu Rosman menyifatkan dakwaan berkenaan mencetuskan persoalan besar terhadap ketelusan dan integriti pentadbiran kerajaan negeri dalam menguruskan sumber asli milik rakyat Sabah.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana syarikat yang mengalami kerugian dan hanya menukar bidang perniagaan kepada ‘eksplorasi mineral’ selepas memohon lesen, boleh diberikan akses ke kawasan yang begitu luas.

“Tidakkah ini mengundang spekulasi bahawa lesen ini telah dianugerahkan secara tergesa-gesa untuk memenuhi agenda tertentu?” katanya.

Tambah beliau, kenyataan Ketua Menteri bahawa lesen itu hanya untuk eksplorasi dan bukan perlombongan hanyalah alasan teknikal yang tidak menjawab persoalan pokok iaitu soal kelayakan, kredibiliti dan ketelusan.

“UMNO Sabah ingin menegaskan bahawa hasil bumi Sabah bukan milik mana-mana individu atau kelompok elit politik.

“Ia adalah hak rakyat yang mesti diurus secara adil, telus dan bertanggungjawab.

“Jika benar kerajaan negeri tiada apa-apa yang mahu disembunyikan, maka mereka harus bersedia disiasat bukan berselindung di sebalik alasan prosedur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here