BATU PAHAT- Seramai 326 mangsa banjir dari lapan kampung di daerah ini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi tadi akibat banjir yang melanda sejak Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), Tan Sri Azmi Rohani berkata, PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading itu menempatkan 109 keluarga yang terjejas.
“Ini melibatkan Kampung Baharu, Kampung Parit Bekok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion, Kampung Haji Salleh Ros, Kampung Sri Muar, Kampung Sri Pandan dan Kampung Samian” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, Sungai Senggarang, Senggarang di sini sudah melepasi paras amaran 3.25 meter.
Katanya, Sungai Batu Pahat pula yang berada di dua lokasi berada pada paras waspada 2.30 meter dan 5.34 meter.- MalaysiaGazette