KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberi penjelasan sama ada pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadualkan pada 1 Mei depan akan diteruskan seperti dirancang, ditangguhkan atau dibatalkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 6 Februari memaklumkan pelaksanaan semula SST yang disemak akan diwartakan dalam suku pertama tahun ini selepas sesi libat urus menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
Jelasnya, pelaksanaan yang dicadangkan itu termasuk kenaikan kadar cukai ke atas produk tertentu serta peluasan skop cukai, sebagai tambahan kepada kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan peluasan skop yang telah dilaksanakan pada Mac 2024.
“Sehingga kini, SST yang disemak semula itu masih belum diwartakan dan belum dibahaskan secara meluas di Parlimen.
“Malah, hampir tiada bukti menunjukkan adanya libat urus bermakna bersama wakil industri berhubung perkara ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SST akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam mulai 1 Mei ini.
Menurut Anwar, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat, sebaliknya dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport sebagai contoh ikan salmon dan avocado.
Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, tambah Anwar, kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan,
Sementara itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam melahirkan kebimbangan kerajaan mungkin meneruskan pelaksanaan SST tersebut tanpa mengambil kira kebimbangan pasaran atau memberi masa yang mencukupi kepada perancangan dan penyesuaian.
Malah, ujarnya, usaha menjadualkan perbahasan berkenaan perkara itu pada mesyuarat kedua sesi Parlimen yang dijadual pada 23 Jun ini juga disifatkan sudah terlambat sekiranya pelaksanaan asal SST yang diperluas kekal dilaksanakan 1 Mei ini.
“Kerajaan mesti menyatakan secara jelas sama ada pelaksanaan SST yang dijadualkan pada bulan Mei ini telah dibatalkan atau ditangguhkan.
“Jika ia ditangguhkan, sila umumkan secara telus tarikh baharu pelaksanaannya,” kata beliau.
Tegas Ka Siong, penjelasan yang jelas daripada kerajaan amat penting bagi membantu pihak industri khususnya dalam sektor pembuatan dan eksport merancang lebih awal dan mengurangkan ketidaktentuan pasaran.
Jelasnya, ia juga akan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang sudah pun terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan tekanan ekonomi yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette