KUALA LUMPUR – Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta pengurusan Mara memperhalusi cadangan menempatkan warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
Katanya, cadangan tersebut telah dikemukakan semasa perbincangan dengan Ketua Pengarah MARA semalam untuk memastikan budaya buli dapat dikekang sepenuhnya.
Asyraf turut mencadangkan supaya jawatan warden dilantik melalui proses temuramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon dalam kalangan pesara tentera mahu pun polis yang mempunyai keupayaan baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensih pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama.
Cadangan tersebut dinyatakan oleh Asyraf Wajdi dalam ruangan komen hantaran di Facebook beliau mengenai keputusan hukuman terhadap tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang dikenal pasti telah membuli seorang pelajar dalam video yang tular baru-baru ini.
Artikel berkaitan:
- MARA akan siasat segera isu buli di MRSM – Asyraf Wajdi
- Polis sudah kenal pasti tujuh pelajar terlibat kes buli MRSM
- Tujuh Pelajar MRSM Ditamatkan Persekolahan #MGFlash
Menurut beliau, cadangan yang disyorkan ke atas kumpulan pelajar tersebut iaitu dua daripadanya didapati melakukan kesalahan buli dan lima lagi telah bersubahat adalah diberhentikan daripada pengajian di MRSM berkenaan.
Asyraf Wajdi sejak hari pertama dilantik ke jawatan Pengerusi Mara telah berkali-kali mengingatkan tiada ruang untuk pembuli dengan motto ““YOU TOUCH, YOU GO!”.
Katanya, tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang cuba membudayakan buli dalam apa juga bentuk di institusi Mara yang sepatutnya menjadi medan melahirkan pemimpin masa hadapan negara. – MalaysiaGazette