KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd (PGB) telah bertindak mengaktifkan pasukan tindak balas krisis dan kecemasan untuk menggerakkan sumber, termasuk sukarelawan bagi membantu individu dan keluarga terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Dalam kenyataannya, PGB berkata sejak hari pertama, lebih 100 kakitangannya menawarkan diri untuk menguruskan agihan makanan di pusat bantuan sementara (PPS).
Pada masa sama, syarikat itu turut menyediakan kira-kira 1,000 pek makanan sehari untuk mereka terjejas di pusat bantuan serta petugas barisan hadapan di lokasi berkenaan.
“Sukarelawan termasuk kakitangan PGB, adalah antara mereka yang pertama membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS itu,” katanya.
PGB berkata dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan mereka yang terjejas, syarikat itu telah bekerjasama dengan hospital terbabit serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan kemudahan penjagaan perubatan kepada mangsa yang menerima rawatan kecemasan.
Selain itu, PGB turut bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk menyalurkan bantuan serta meringankan beban mangsa.
Ini termasuk kerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam usaha menyalurkan bantuan lanjutan, antaranya penyediaan penempatan transit bagi mereka yang memerlukan kediaman jangka panjang.
Menurutnya, bagi komuniti kerugian harta benda sama ada sebahagian atau menyeluruh, PGB dengan kerjasama Prihatin Selangor sudah mengagihkan lebih RM700,000 dalam bentuk bantuan kewangan.
“Setiap isi rumah akan menerima sama ada RM5,000 atau RM2,500 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami,” katanya.
Entiti lain dalam Kumpulan Petronas seperti Petronas Dagangan Bhd dan Yayasan Petronas turut menyumbang pek penjagaan merangkumi bekalan asas untuk keperluan individu serta keluarga terjejas.
— BERNAMA