Mohd Sany Hamzan

KUALA LUMPUR – Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) berada dalam keadaan siap sedia sepenuhnya bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, gerak kerja besar-besaran melibatkan jentera dari seluruh negeri termasuk dari luar Perak akan bertumpu di kawasan Ayer Kuning bagi membantu kempen calon BN.

“Walaupun Amanah pernah bertanding di kawasan ini dalam pilihan raya yang lalu, kali ini kami memilih untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu isyarat jelas mengenai kesepakatan politik demi kestabilan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRK itu, Amanah turut melantik naib presidennya, Datuk Dr. Hatta Ramli sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk manakala Mohd Sany yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional dilantik sebagai Timbalan Pengarah Induk.

Sementara itu, Mohd Sany berkata, pihaknya yakin kerjasama erat antara parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.

Semalam, BN mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr. Mohamad Yusri Bakir sebagai calon mewakili parti itu pada PRK DUN Ayer Kuning yang akan diadakan pada 26 April depan.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning yang turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada pilihan raya umum lalu, BN yang diwakili Ishsam Shahruddin menang dengan majoriti 2,213 undi selepas memperoleh 9,088 undi dalam pertandingan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here