DEWAN Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning Perak berlaku kekosongan apabila Ishsam Shahruddin (UMNO-Barisan Nasional) meninggal dunia akibat serangan jantung pada 23 Februari 2025.
Berikutan kekosongan ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April 2025.
Berdasarkan kepada PRU-15, Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213, yang menewaskan empat calon lain.
Dalam itu, BN memperoleh undi sebanyak 9,088 undian. Sementara PH mendapat undian 6,875 dan PN mendapat undian sebanyak 6,812.
Jika melihat kepada sifir mudah, BN mempunyai kelebihan jika jumlah undi BN dan PH ditambah, iaitu sebanyak 15,963.
Namun, politik bukanlah kiraan mudah. Politik juga bersifat dinamik dan berubah-ubah bergantung kepada reputasi kerajaan Perpaduan PH-BN.
Meskipun jika berlaku peralihan kerusi BN kepada PN, ianya tidaklah sampai kepada tahap perubahan kerajaan negeri Perak.
Tetapi jika BN kalah pada PRK ini, ianya mengambarkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Perpaduan khususnya di Persekutuan mengalami kemerosotan yang signifikan.
Kredibiliti kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Salah satu isu yang paling menonjol pada saat ini, yang dijangka menjadi bahan kempen Perikatan Nasional adalah berkaitan kegagalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Kontroversi campuran Beras Putih Tempatan (BPT) dengan Beras Putih Import (BPI) yang dijual dengan ‘packaging’ Beras Import sememangnya menguji reputasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Antara isu lain adalah berkaitan isu kos sara hidup yang tidak menentu.
Seperti rasionalisasi diesel yang boleh dikatakan agak tergesa-gesa dan rasionalisasi petrol yang dijangka memberi kesan signifikan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.
Ini merupakan satu beban tambahan kepada rakyat sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih Putrajaya selepas PRU-15.
Sentimen ini juga menggambarkan persepsi bahawa kerajaan tidak cekap dalam mengawal kenaikan harga barang yang akhirnya membebankan rakyat Malaysia.
Tidak kurang juga isu 3R (agama, kaum, raja) yang gagal dijamin oleh Kerajaan Perpaduan.
Polarisasi kaum di Malaysia pada mutakhir kini dilihat bakal menggoncang perpaduan kaum dan agama di Malaysia.
Sikap ‘double standard’ kerajaan yang dilihat seolah-olah tidak menyebelahi kaum Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia mencalarkan imej Kerajaan Perpaduan yang berpotensi kepada kekalahan PRK Ayer Kuning.
Persepsi dan reaksi rakyat di media sosial
Di media sosial, umum dapat melihat bahawa kebanyakan reaksi di Facebook tidak menyebelahi Kerajaan Perpaduan.
Seperti isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, kekerapan Anwar ke luar negara bagi urusan diplomasi yang menelan belanja sebanyak RM44 juta setahun yang hanya menjadi bahan jenaka di media sosial.
Ini menunjukkan bahawa reputasi kerajaan Perpaduan sedang tercalar dan berpotensi diterjemahkan ke dalam undi PRK Ayer Kuning bulan April nanti.
Peluang Pas dan PN merampas kerusi DUN Ayer Kuning
Pas dan PN memiliki peluang untuk membuat inroad di kerusi DUN Ayer Kuning.
Walaupun secara tradisinya kerusi ini milik BN, perkembangan politik kini dan reputasi Kerajaan Perpaduan ini memberi harapan kepada Pas.
Walau bagaimanapun, realitinya BN/PH masih mempunyai kelebihan di Ayer Kuning.
Majoriti 2,213 undi pada PRU-15 bukan kecil, dan itu sebelum wujud kerjasama BN-PH pasca PRU-15.
Jika jentera Perpaduan berjaya mengembleng penyokong PH, terutamanya pengundi DAP dan PKR untuk mengundi calon BN, laluan PN untuk menang menjadi lebih sukar.
Cabaran utama PN adalah menembusi ‘fix deposit’ BN-PH tersebut, terutamanya di peti undi yang majoritinya bukan Melayu serta memastikan seramai mungkin pengundi Melayu keluar mengundi dan mengundi PN.
Jika peratusan pengundi Melayu tinggi dan peratusan pengundi PH tegar yang sanggup menyokong BN rendah, PN mempunyai kelebihan yang sangat tinggi.
Dijangkakan pada PRK ini, Kerajaan Perpaduan di atas kertas mampu mengekalkan kerusi ini, tetapi ancaman PN tidak boleh dipandang ringan.
Dalam masa yang sama, bukan mudah untuk BN melebarkan majoriti kemenangan selepas PRU-15 ini.
Kerana cabaran utama BN adalah untuk meyakinkan seramai mungkin pengundi PH, khususnya DAP untuk keluar mengundi calon BN.
Jika ramai penyokong PH enggan keluar mengundi atau silent protest, PN boleh mendapat laba daripada peratusan keluar mengundi yang rendah di UDM kubu PH.
Kepentingan Pas meletakkan calon berkredibiliti
Faktor lain yang akan menjadi penentu dalam PRK ini ialah kredbiliti dan tarikan calon daripada Pas.
BN telah menetapkan calon dengan menggunakan kriteria `Winable, Acceptable, dan Likeble’.
Ini bermakna, BN juga telah bersiap siaga untuk meletakkan calon yang ‘boleh menang’ di PRK Ayer Kuning.
Pas juga perlu menampilkan calon yang kuat dan berprofil bersih untuk bersaing sengit.
Pas berpotensi menang jika calon yang dipilih merupakan seorang yang dekat dengan pengundi setempat, memahami selok-belok isu setempat serta tidak mempunyai liabiliti politik.
Meletakkan tokoh yang dikenali dan dihormati di peringkat setempat dapat meningkatkan daya saing PN untuk memenangi PRK Ayer Kuning.
Jika calon Pas seorang yang kurang berpengalaman atau reputasinya tercalar, pengundi atas pagar mungkin cenderung untuk tidak mengambil risiko dan memilih calon BN yang lebih stabil.
Kesimpulan
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan dalam konteks politik nasional yang hangat dengan isu-isu rakyat.
Kredibiliti kerajaan pimpinan Anwar banyak tercalar akibat isu beras campuran, kos sara hidup dan isu 3R yang memberi peluang kepada PN untuk menawarkan diri sebagai alternatif.
Persepsi rakyat yang dizahirkan di media sosial menunjukkan wujudnya kegelisahan yang real dan nyata, walaupun jentera kerajaan masih cuba menjelaskan dan membetulkan kegagalan mereka.
Keputusan PRK Ayer Kuning ini akan menjadi indikator penting.
Jika kerajaan berjaya mempertahankan kerusi Ayer Kuning ini, ia mungkin menunjukkan rakyat masih memberi masa dan kepercayaan, tetapi jika majoriti merosot atau tewas, ia menjadi isyarat jelas bahawa pengundi mahu kerajaan mendengar keluhan mereka.
Bagi Pas, jalan menuju kemenangan bukan mudah, tetapi strategi kempen yang efektif, calon yang berwibawa, dan isu nasional dimanfaatkan, sedikit sebanyak dapat menambat hati pengundi DUN Ayer Kuning.

Oleh MUHAMMAD EHSAN SHAARI
Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera