KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) semalam membuat laporan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya supaya menyiasat syarikat pemaju yang mendapat kelulusan projek dari kerajaan Selangor untuk melaksanakan projek perumahan di Putra Heights sehingga membawa tragedi letupan paip gas Petronas pada minggu lepas.
Naib presidennya, Datuk Asmawar Samat berkata, siasatan yang dibuat wajib telus bagi mengetahui sama ada terdapat unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan yang berkuasa sehingga meluluskan projek perumahan berdekatan dengan paip gas.
“Laporan siasatan hendaklah didedahkan kepada pihak awam dan jika didapati ada unsur rasuah dan penyelewengan, tindakan mendakwa segera dilakukan tanpa mengira siapa dan jawatan apa demi keadilan dan amalan undang-undang di mana semua pihak wajib patuhi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Asmawar, setakat ini polis hanya menyiasat kontraktor dan bukan ke atas pemaju.
Justeru, katanya, pemaju, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab dan mesti disiasat oleh SPRM.
Kebakaran saluran gas Petronas kira-kira pukul 8.10 pagi Selasa minggu lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 219 rumah disahkan mengalami kerosakan dalam kejadian itu, manakala 220 kediaman lagi diisytiharkan selamat dan tidak terjejas. – MalaysiaGazette