KOTA BHARU – Tengkorak dan tulang yang dipercayai rangka manusia ditemukan di kawasan sawah padi di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata maklumat mengenai penemuan itu diterima petugas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada kira-kira 3 petang.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Selising dan IPD Pasir Puteh telah ke lokasi kejadian dan menemukan tengkorak serta tulang dipercayai rangka manusia.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hadir untuk menjalankan siasatan serta pencarian saki-baki rangka bagi melengkapkan siasatan.
“Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Selising Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh di 09-7867222,” katanya.- BERNAMA