Burung laut Chinese Crested Tern yang dikesan semula di perairan Asajaya, Sarawak, buat kali pertama selepas lebih satu abad. – Foto: Ng Jia Jie

KUALA LUMPUR – Seekor burung laut yang dikategorikan sebagai amat terancam, Chinese Crested Tern (Thalasseus bernsteini) dikesan semula di perairan Asajaya, Sarawak buat kali pertama selepas lebih satu abad.

Dianggarkan hanya tinggal 50 ekor di dunia – penemuan yang disifatkan luar biasa itu mencetuskan keterujaan-  dalam kalangan komuniti pencinta alam dan pengkaji burung tempatan.

Menurut Malaysian Nature Society Cawangan Kuching (MNSKB), penemuan itu pada Februari lalu secara tidak sengaja oleh pasukan mereka ketika sedang menjalankan aktiviti pemantauan populasi Far Eastern Curlew di kawasan sekitar Teluk Bako-Buntal.

Ia merupakan kawasan yang diiktiraf sebagai Kawasan Burung dan Biodiversiti Penting (IBA).

Sementara itu, seorang ahli veterinar yang juga ahli aktif MNSKB, Dr Ng Jia Jie menyifatkan penemuan tersebut satu detik yang cukup mengujakan buat pasukan berkenaan.

Beliau yang turut serta dalam misi itu berkata, burung itu dapat dikenal pasti melalui ciri uniknya iaitu tompok hitam di hujung paruh.

Jelasnya, burung Chinese Crested Tern tersebut dilihat berada dalam sekumpulan kecil Great Crested Tern (Thalasseus bergii), spesies yang sering berkongsi habitat dan memiliki rupa fizikal hampir serupa.

“Sekilas pandang, kedua-duanya kelihatan hampir sama.

“Namun, Chinese Crested Tern sedikit lebih kecil dengan panjang badan sekitar 38 hingga 43 sentimeter (cm) berbanding Great Crested Tern yang boleh mencecah sehingga 53 cm,” katanya seperti dipetik menerusi laman web iloveborneo.

Apa yang menjadikan penemuan itu begitu signifikan adalah hakikat populasi Chinese Crested Tern di seluruh dunia kini dianggarkan hanya sekitar 50 ekor dewasa.

Ini bermakna, kehadiran seekor burung itu di Asajaya mewakili kira-kira dua peratus daripada jumlah keseluruhan populasi burung itu di dunia.

Burung itu juga diketahui membiak di kawasan pantai timur China, Taiwan dan Korea Selatan sebelum berhijrah ke selatan termasuk Kepulauan Maluku di Indonesia dan Davao del Norte di Filipina untuk musim sejuk.

Penemuan itu turut menyerlahkan kepentingan Teluk Bako-Buntal, yang bukan sahaja menjadi habitat tetap tetapi juga kawasan persinggahan utama bagi banyak spesies burung migrasi dari Asia Timur terutama semasa musim sejuk di hemisfera utara.

Sementara itu, Pengerusi MNSKB, Rose Au, menyifatkan pengalaman melihat burung tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Ia adalah pengalaman yang sangat bermakna dan mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Teluk Bako-Buntal memenuhi sepenuhnya kriteria IBA kerana menjadi lokasi tumpuan bagi lebih satu peratus populasi dunia bagi beberapa spesies burung yang terancam seperti Chinese Egret (Egretta eulophotes) dan Far Eastern Curlew (Nomenius madagascariensis).

Bagaimanapun, katanya, walaupun penemuan itu memberi harapan baharu dalam usaha pemuliharaan, MNSKB mengingatkan burung tersebut masih berdepan pelbagai ancaman serius.

Antaranya kegagalan pembiakan akibat gangguan manusia; aktiviti pengambilan telur dan pemburuan; ribut taufan dan aktiviti penangkapan hasil laut yang mengganggu kawasan pembiakan.

Sehubungan itu usaha pemantauan dan pemuliharaan secara berterusan adalah amat penting untuk memastikan kelangsungan spesies ini pada masa akan datang.

“Penemuan ini bukan sahaja bersejarah malah ia mengukuhkan lagi nilai ekologi Teluk Bako-Buntal sebagai kawasan kritikal untuk biodiversiti burung,” tambah Rose. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here