CAP mandakwa kenderaan berat punca kesesakan lalu lintas di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang. Gambar ihsan - CAP

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaannya supaya larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak dilaksanakan di negeri itu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan kejayaan pelaksanaan peraturan sama di Lembah Klang.

“Kerajaan sebelum ini telah mewartakan larangan terhadap lori di lebuh raya untuk pergi dan balik dari Kuala Lumpur pada waktu puncak, berkuat kuasa sejak 19 Februari lalu bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Lembah Klang.

“Sehari selepas pelaksanaan larangan tersebut, Ketua Pegawai Operasi lebuh raya ASP Amir Che Ya dilaporkan media berkata, terdapat kelancaran trafik di sepanjang lebuh raya yang biasanya sesak, hasil sekatan terhadap kenderaan berat di lebuh raya terpilih yang melalui kawasan itu.

“Jika larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak di Lembah Klang menunjukkan hasil yang positif, adalah wajar untuk mempertimbangkan pelaksanaannya di Pulau Pinang dan juga di negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, faedah pelaksanaan larangan itu amat jelas termasuk aliran trafik lebih lancar, kesesakan yang berkurangan, tekanan terhadap penumpang yang menurun serta potensi pengurangan pencemaran.

“Pada Julai lalu, CAP telah menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan supaya melaksanakan langkah sama di Pulau Pinang, khususnya bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland pada waktu pagi dan petang.

“Ia juga menggalakkan perancangan logistik dan pengangkutan barangan yang lebih cekap apabila penghantaran dibuat pada waktu luar puncak.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Pengangkutan supaya tidak melengahkan pelaksanaan larangan kenderaan berat pada waktu puncak di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here