KUALA LUMPUR – Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Miri, Sarawak hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sepasukan bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan dibacakan di hadapan Majistret Ashok Linggam.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-duanya kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua tertuduh yang berpakaian sukan itu bagaimanapun mengangguk faham.
Menurut laporan Berita Harian, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana membunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21, di antara pukul 2.15 pagi dan 3.05 pagi pada 24 Mac lalu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik di Blok Kediaman Bujang LLP, Kompeni Alpa, Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri.
Seksyen 302 memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Franklin Ganggan Bennet kemudian memohon ditetapkan tarikh untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan kimia.
Ashok membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani tahanan lanjut mengikut Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu tarikh itu.
Tertuduh kedua diwakili peguam Ranbir Singh dan tertuduh pertama tidak diwakili peguam.
Laporan media menyatakan dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi 24 Mac lalu, Muhammad Muqriz dilaporkan sedang tidur di berek bujang Kem Sri Miri apabila dikejutkan oleh dua anggota senior untuk bersahur.
Namun sebelum bersahur, anggota senior terbabit dikatakan mengarahkan mangsa untuk melakukan aktiviti commando rest (pacak kepala di lantai, tangan ke belakang) selama dua minit dan tekan tubi 20 kali.
Mangsa yang berpeluh dilaporkan kemudian berdiri sebelum terus pitam. Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Beliau kemudian menghantar anggota tentera terbabit ke Hospital Miri sebelum doktor di situ mengesahkan mangsa meninggal dunia pukul 3.05 pagi. – MalaysiaGazette