Keadaan pesawat yang terhempas di Kapar, Klang, Februari 2024

PUTRAJAYA – Juruterbang pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang terhempas di Kapar, Selangor tahun lalu, didapati melakukan gerakan penerbangan agresif melebihi had kemampuan pesawat, menurut laporan akhir kemalangan itu.

Hal itu menyumbang kepada beban berlebihan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, justeru membawa kepada pemisahan bahagian ketika penerbangan.

“Kegagalan dan pemisahan bahagian struktur ketika penerbangan akibat tekanan operasi berlebihan pada bahan komposit pesawat yang lemah, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat terbabit.

“Kekukuhan struktur pesawat telah terjejas oleh operasi berulang di luar had operasi penerbangan yang diluluskan, termasuk melebihi kelajuan udara maksimum, faktor beban dan had struktur, yang memberi tekanan tidak wajar pada strukturnya,” menurut laporan akhir kemalangan pesawat berkenaan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Pada 13 Februari lalu, pesawat Blackshape Gabriél BK 160TR yang dikendalikan oleh Aviation Safety Technology Pte Ltd, Singapura, berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor ke kawasan barat Kapar untuk penerbangan riadah atau rekreasi.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/02/13/pesawat-terhempas-di-kapar-operasi-cari-mangsa-giat-dijalankan/

https://malaysiagazette.com/2024/02/13/kejadian-nahas-pesawat-ringan-di-kapar/

https://malaysiagazette.com/2024/02/13/nahas-pesawat-ringan-mayat-juruterbang-penumpang-ditemui/

Dalam kejadian pada 1.36 tengah hari itu, pesawat berkenaan terhempas di ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda dekat Kapar dan ditemukan musnah serta dua individu iaitu juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat itu terkorban.

Laporan akhir berkenaan turut mendedahkan pemasangan bahagian yang tidak diperakui, terutamanya tie-down rings, melemahkan lagi kekukuhan pesawat dan menyumbang kepada kegagalan itu, menurut laporan tersebut yang diterbitkan di laman web rasmi MOT.

Laporan setebal 204 muka surat itu memaklumkan beberapa faktor menyumbang kepada nahas berkenaan telah dikenal pasti iaitu prestasi juruterbang, penyelenggaraan pesawat, kegagalan organisasi dan pengawasan operasi.

“Pesawat itu menjalani amalan penyelenggaraan yang tidak diluluskan, termasuk pemasangan alat ganti yang tidak diperakui oleh kakitangan yang tidak berkelayakan yang menjejaskan kekukuhan struktur pesawat, menjadikannya lebih terdedah kepada kegagalan ketika penerbangan,” menurut laporan itu yang turut menyatakan tiada penumpang boleh selamat daripada nahas tersebut susulan daya nyahpecutan yang besar semasa hentaman.

Sementara itu, dapatan lain menunjukkan kepekatan alkohol dalam darah (BAC) juruterbang terlibat ialah 0.032 peratus iaitu melebihi had yang dibenarkan undang-undang (0.02 peratus) yang mungkin menjejaskan prestasi juruterbang semasa penerbangan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam laporan sama mencadangkan untuk melaksanakan langkah dipertingkat bagi meneliti operasi penerbangan tidak berjadual dalam Malaysia, khususnya melibatkan pesawat yang didaftarkan di luar negara dan kru pesawat berlesen asing.

– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here