KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam nahas kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Kemaman di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Muhammad Sad Faiz Md Yushak, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala pemandu kereta, lelaki berusia 54 tahun berkhidmat sebagai pensyarah tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke arah Balok dan pemandu kereta Inokom Getz pula dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa mangsa sedang bergerak lurus, kereta terbabit dipercayai masuk ke simpang di sebelah kanan secara tiba-tiba lalu berlaku pelanggaran,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette