KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan penjelasan mengapa Putrajaya masih buntu mencari penyelesaian dalam menangani isu tarif 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, satu penjelasan perlu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga Malaysia perlu menggunakan platform ASEAN sebagai jambatan untuk berbicangan dengan AS.
“Memang tidak dinafikan, negara ASEAN mempunyai kelebihan tersendiri dalam daya saing yang boleh dimanfaatkan dalam perbincangan tersebut, isu utama ialah sama ada terdapat sebarang cara antara negara kita dan ASEAN untuk memujuk AS mengubah kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dominic berkata demikian mengulas kenyataan Anwar bahawa negara-negara ASEAN mencapai kata sepakat berhubung menghantar pegawai ke AS untuk sesi perbincangan mengenai tarif yang dikenakan negara itu baru-baru ini.
Malah Anwar turut berkata langkah untuk memulakan perbincangan adalah sebahagian daripada penjajaran Malaysia dengan “diplomasi lembut penglibatan senyap” berbanding “diplomasi megafon”.
Dalam pada itu, Dominic persoal pendirian Anwar dalam menangani isu itu agak mengelirukan.
Jelasnya, sebelum ini Anwar begitu yakin isu boleh diselesaikan melalui orang yang paling rapat dengan Presiden AS, Donald Trump, kemudian mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk berunding dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan kini memutuskan untuk menghantar pegawai ke AS untuk merundingkan penyelesaian tarif.
Langkah itu tambah Dominin jelas menunjukkan Anwar belum dapat mencari jalan keluar.
“Dari perspektif lain, mencari penyelesaian melalui pelbagai saluran sudah tentu satu percubaan yang baik tetapi kerajaan mesti mempunyai strategi dan rancangan yang lebih berkesan. Sehingga kini, PM masih belum dapat menyatakan kaedah terbaik menembusi halangan dengan Rumah Putih,” dakwanya.
Minggu lalu, Trump mendedahkan tarif timbal balik baharu ke atas beberapa rakan dagangan Asia Tenggara Washington termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus.
Kemboja dikenakan tarif 49 peratus, tertinggi di kalangan negara Asean, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Sementara Brunei juga dikenakan tarif 24 peratus, barangan eksport Indonesia ke AS boleh melihat tarif 32 peratus. Tarif 17 peratus dan 10 peratus turut dikenakan masing-masing ke atas Filipina dan Singapura.
Tarif itu dijangka berkuat kuasa pada 9 April berikutan pelaksanaan tarif asas 10 peratus pada 5 April. – MalaysiaGazette