Foto Instagram Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Rita Rudaini berpendapat peraturan sekolah yang ketat di institusi pendidikan antara punca mendorong kepada berlaku gejala buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Memiliki anak sulung yang bersekolah di MRSM, Rita, 48, berkata, peraturan itu menyebabkan ada segelintir mereka mula memberontak dan mengacau pelajar lain yang dianggap satu keseronokan sebelum menjadi budaya buli.

Pemilik nama lengkap Rita Rudaini Mohammad Mokhtar itu memberitahu, ia kerana pelajar sekolah zaman kini tidak berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan termasuk melakukan jenayah.

“Kadang-kadang peraturan yang ketat dan tegas tak tentu fasal pun boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak, buat hal dan kacau orang. Daripada seronok-seronok kacau terus naik taraf kepada buli.

“Ada yang tak kacau orang tetapi nak lepaskan stres dengan cara lain seperti hisap rokok atau vape. Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tetapi otak mereka tak secanggih budak zaman dulu.

“Budak-budak zaman dulu nak buat satu benda memang akan fikir 100 kali sambil terbayang kena libas. Budak-budak sekarang buat dahulu fikir? Nanti bila-bila lapang baru fikir,” katanya dalam hantaran Instagram.

Berkongsi lanjut, pelakon filem Mami Jarum itu menegaskan ibu bapa juga mendorong pembentukan sikap pelajar selain pengaruh daripada rakan sebaya.

“Didikan juga bermula dari rumah. Nak tengok keperibadian seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan. Ketegasan dan kekerasan berbeza, hormat dan takut mana satu pilihan,” jelasnya.

Pada masa sama, Rita turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki atas tindakan pantas menamatkan pengajian pembuli yang terlibat.

“Terima kasih Asyraf Wajdi, tindakan yang cepat walaupun benda sudah jadi tahun lepas. Pihak maktab tak patut sorok atau ambil ringan.

“Maktab tak salah, mana-mana sekolah pun sama. Yang tak betul perangai dan sikap manusia,” ujarnya.

Sebelum ini, tular sebuah video dipercayai membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

Rakaman video tersebut memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.

Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan tersebut adalah satu gurauan atau perbuatan buli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here