KUANTAN – Kerajaan Pahang menafikan dakwaan Save Musang King Alliance (SAMKA) yang mendakwa kononnya kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, semalam.
Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa kerajaan negeri bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis itu tidak terikat dengan mana-mana perintah mahkamah.
“Dakwaan bahawa kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah adalah tidak benar. Permohonan mereka untuk semakan kehakiman berhubung perintah pengusiran telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, dan permohonan penangguhan turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
“Keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Julai menjelaskan bahawa pekebun sepatutnya memohon perintah penangguhan (terhadap perintah pengusiran) di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada peringkat awal, setelah permohonan semakan kehakiman ditolak.
“Namun, mereka terus ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan perintah penangguhan tanpa melalui prosedur yang sepatutnya. Oleh itu, permohonan tersebut ditolak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Saiful Edris berkata dengan keputusan tersebut, adalah jelas bahawa tanah berkenaan sememangnya milik kerajaan negeri dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menceroboh atau menduduki tanah itu secara haram.
“Apabila tanah tersebut adalah milik sah kerajaan negeri, maka terserah kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menceroboh secara haram.
“Mereka yang menduduki tanah itu tanpa kebenaran tidak mempunyai sebarang hak ke atasnya dan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah, malah bersedia sekiranya pihak berkenaan mahu membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu, dalam satu laporan portal hari ini, sekumpulan 186 pekebun durian yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan kerajaan Pahang mendakwa kerajaan negeri telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang pokok durian Musang King mereka.
— BERNAMA