SUBANG JAYA – Pengamal media diminta sentiasa menyuarakan luahan dan keluhan mangsa tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini.
Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah berkata, ia kerana liputan media yang diberikan dapat memastikan suara mangsa yang terjejas mendapat perhatian pelbagai pihak.
“Saya meminta pihak media sentiasa memberi liputan kepada nasib dan apa yang seterusnya akan terjadi atau pun keadaan ekonomi mangsa di masa hadapan.
“Situasi ini adalah, ia unik dan tidak pernah berlaku sebesar ini. Keadaan ini adalah satu cara di mana kita dapat belajar supaya situasi dan bencana ini tidak berlaku lagi di masa mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran saluran paip gas di pusat pemindahan sementara (PPS), Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) meluangkan masa kira-kira sejam melawat dan menyantuni mangsa tragedi letupan saluran paip gas.
Tunku Puteri Intan Safinaz menambah, antara yang menjadi kerisauan utama mangsa insiden mengenai tempat tinggal untuk meneruskan kehidupan.
“Di mana mereka akan tinggal, hendak cari rumah sewa yang sesuai untuk anak dan ada yang risau mengenai situasi ibu bapa yang masih di hospital.
“Ada juga anak-anak yang masih trauma dan susah hati akibat ketiadaan barangan termasuk permainan dan barangan keperluan yang mana memang perkara biasa untuk bencana seperti ini,” katanya.
Pada 1 April lalu, insiden kebakaran saluran paip gas bawah tanah menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius.
Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette