GEORGE TOWN – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret 2 di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan ugut sebanyak RM18,000 dan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki pada Mac lalu.
Tertuduh P. Veeran, 36; S.Rohan Raj, 22;
L. Yuvarajan, 21; S. Siva, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 50 tahun kononnya berisiko ditangkap polis sebelum mendorong mangsa memberikan wang berjumlah RM18,000.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor pukul 12.30 tengah malam pada 21 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM7,000 terhadap setiap tertuduh serta syarat tambahan mereka tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam, R. Puran yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan minima atas alasan anak guam pertamanya Veeran tidak bekerja mempunyai tanggungan tiga orang anak serta ibu bapa.

“Anak guam kedua saya, Rohan Raj merupakan pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,500 perlu menyara isteri serta ibu bapanya.
“Yuvarajan merupakan seorang pelajar yang mana masih dalam tanggungan ibu bapanya manakala Siva pula bekerja sebagai pengawal keselamatan masih bujang dan perlu menyara ibu bapanya dengan pendapatan bulan RM2,000,” katanya.
Mohamad Azlan kemudian membenarkan masing-masing mereka diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang ditawarkan Syairah Aqilah.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 28 April depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3, Rohan Raj mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar polis serta memiliki sepucuk pistol plastik tiruan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu lokasi dan alamat sama dengan pertuduhan di Mahkamah Majistret 2.
Pengawal keselamatan itu didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darshini dan Nadratun Naim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta dilarang dekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai bagi kedua-dua pertuduhan.
Manakala Veeran yang berdepan satu pertuduhan iaitu menyamar polis turut mengaku tidak bersalah sebelum dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan sama dengan Rohan Raj. – MalaysiaGazette