KUANTAN – Berlaku beberapa perubahan pada pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang susulan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar yang baharu pada hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jawatan yang disandang oleh Nazri Abu Bakar sebelum ini diisi oleh Datuk Fadzilla Salleh sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang.
“Manakala Datuk Hamadan @ Hamdan Hussin pula dilantik sebagai Pengarah Pejabat Pembanguan Negeri Pahang dan Datuk Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, patik menjunjung kasih ke sisi baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan menerima pelantikan Datuk Indera Nazri Abu Bakar selaku Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu.
“Patik berikrar, jentera Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku akan terus memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pelabur di negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataaan hari ini.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Pahang bagi terus memperkukuh pentadbiran di negeri ini.
Ujarnya sebelum ini, beberapa pendekatan baharu telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan karenah birokrasi dalam urusan pentadibiran di Pahang.
Antaranya menurunkan kebenaran atau ‘consent’ pertukaran hak milik tanah kepada Pegawai Daerah, penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang.
Jelas Wan Rosdy pendekatan tersebut bagi memastikan urusan berkaitan hasil bumi dan tanah dapat diperkemas dan seterusnya membantu peningkatan hasil kepada Kerajaan Negeri.
“Selari dengan titah dan pesanan Tuanku jua, setiap hasil yang diperolehi, akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negeri melalui pelbagai inisiatif seperti Program Inisiatif Makmur Pahang serta projek-projek pembangunan yang lain.
“Patik percaya, pelantikan Datuk Indera Nazri Abu Bakar, anak kelahiran Pekan, diikuti beberapa perubahan perjawatan lain dalam pentadbiran akan meneruskan tradisi kecemerlangan Kerajaan Tuanku sejak dahulu, kini dan pada masa akan datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette