KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aquaria KLCC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama dalam usaha memelihara dan memulihara terumbu karang.
Inisiatif itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Life below water yang menekankan kepentingan kelestarian ekosistem marin.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur sebagai symbolic kepada usaha pemuliharaan marin yang turut melibatkan pusat akuarium terkenal itu dalam penyelidikan dan program kesedaran masyarakat.
Dalam majlis ringkas itu menyaksikan Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Daryl Foong menurunkan tandatangan bagi menyempurnakan gimik perasmian.
Kerjasama itu merangkumi pelbagai inisiatif termasuk program penanaman semula terumbu karang, penyelidikan bersama serta kempen kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga ekosistem marin.
Malah, MoU ini dijangka dapat memperluaskan skop kerjasama bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dijalankan secara berterusan dan memberi impak positif kepada ekosistem marin.
Dr. Mohd Zamri Ibrahim menegaskan, UMT komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan sentiasa menyokong inisiatif
yang membantu memelihara biodiversiti marin.
“Kami di UMT menggalas tanggungjawab dalam memastikan kelestarian ekosistem marin. Pemuliharaan terumbu karang merupakan satu keperluan mendesak dan usaha seperti ini dapat memberi kesan positif dalam jangka panjang.
“Pendidikan serta kesedaran awam juga memainkan peranan penting dalam memastikan generasi akan datang lebih memahami kepentingan pemeliharaan alam sekitar yang akhirnya memberi manfaat kepada kehidupan sejagat,” katanya.
Sementara itu, penyelidik yang juga pakar terumbu karang UMT, Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong menjelaskan, usaha pemuliharaan itu adalah penting dalam memastikan kelangsungan biodiversiti laut khususnya di perairan Malaysia.
“Terumbu karang adalah habitat utama bagi pelbagai spesies marin dan memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem laut. Namun, ancaman seperti perubahan iklim, pencemaran dan aktiviti manusia yang tidak terkawal telah menyebabkan kemerosotan terumbu karang secara drastik.
“Melalui kerjasama ini, kami dapat menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam serta membangunkan teknologi pemulihan terumbu karang yang lebih berkesan,” tambah beliau.
Untuk rekod, UMT telah menjalankan program seperti Coral Reef Edu-Awareness yang melibatkan pelajar sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan terumbu karang. – MalaysiaGazette