Jimmy Puah Wee Tse ketika melawat pencawang elektrik di Bandar Tiram, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berdepan pertembungan tiga penjuru dalam merebut jawatan Ketua Cabang Keadilan Tebrau pada pemilihan parti pada 20 April ini.

Ia temasuk cabaran sengit bersaing dengan penyandangnya, Ketua Cabang Keadilan Tebrau yang juga Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.

Namun Wee Tse melihat kedudukan sebagai Ahli Parlimen Tebrau memberi kelebihan buat dirinya untuk bertanding jawatan tersebut.

“Ahli parti di kawasan Tebrau itu boleh menilai sendiri track record saya sebagai ahli Parlimen serta visi yang akan dilakukan sebagai ketua Cabang Keadilan Tebrau 2025-2028.

“Keyakinan ini juga hadir setelah ada permintaan daripada akar umbi untuk memintanya bertanding di kawasan tersebut.

“Saya pilih bertanding di sini sebab ada permintaan daripada akar umbi. Keduanya, adalah lagi sesuai untuk perkembangan parti sekiranya Ahli Parlimen dan Ketua Cabang Keadilan adalah orang yang sama.

“Ini juga akan membantu pengaruh parti kita ini lebih meluas di kawasan Tebrau. Oleh itu, saya merasakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tebrau beri kelebihan pada saya,” katanya ketika ditemui selepas melawat pencawang elektrik di Bandar Tiram hari ini.

Yuneswaran sebelum ini berkata, beliau sudah bersama-sama Cabang Keadilan Tebrau sejak menyertai PKR pada 2008.

“Sepanjang hampir 17 tahun, saya telah menimba pelbagai pengalaman politik dari peringkat akar umbi sehingga kini diberi kepercayaan sebagai Ahli Parlimen Segamat,” ujar Yuneswaran dalam Facebook miliknya.

Wee Tse sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Cabang Keadilan Pulai bagi tempoh dua penggal sebelum umum bertanding di Tebrau.

Mengulas lanjut, Wee Tse berharap pemilihan parti itu dapat berjalan dengan aman tanpa ada insiden yang dicemari.

Katanya, setiap yang bertanding di mana-mana cabang parti dapat bertanding secara sihat dan tidak menggunakan cara kotor untuk meraih undi.

“Apa-apa pemilihan parti, jangan lupa kita daripada parti yang sama. Kalau boleh, kita tidak mahu ada insiden yang tidak diingini berlaku, saya yakin bahawa pencabar saya faham perkara itu.

“Yang penting, siapa pun yang menang, ia akan ditentukan ahli parti. Kita kena ingat, selepas keputusan keluar, kita perlu kembali bersatu bersama dan terus di landasan reformasi parti,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here