Pasangan suami isteri dan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kanan) dan Ismanira Abdul Manaf (tengah) tiba di pekarangan Mahkamah bagi perbicaraan pertuduhan pengabaian di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

PETALING JAYA – Pasangan suami isteri , Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, juga ibu dan bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin terus menjadi tumpuan pengamal media di hari ini.

Mereka hadir bagi menyambung perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan yang ditemui mati dalam anak sungai pada 6 Disember 2023.

Zaim yang hadir menggunakan kerusi roda dan ditolak oleh bapanya, Zahari Mohd Reba serta ditemani isterinya,  tiba di mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dan menuju ke kafe.

Mereka kemudian memasuki ke kompleks mahkamah kira-kira jam 9.20 pagi lalu menuju ke lif.

Zaim Ikhwan Zahari menaiki kerusi roda ketika tiba di mahkamah bagi perbicaraan pertuduhan pengabaian di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

Ketika ini, bapanya dilihat meninggalkan pasangan itu.

Sebaik sahaja pintu lif dibuka, Zaim dilihat turun dari kerusi roda dan berjalan memasuki pintu lif seorang diri, meninggalkan isterinya bersama kerusi roda di luar lif.

Pergerakan pasangan ini menarik perhatian apabila Ismanira yang mengenakan tudung bercorak warna-warni menolak suaminya ke kamar Mahkamah Sesyen 4 yang terletak di tingkat tiga.

Sebaik sahaja di kamar mahkamah itu, Zaim tiba-tiba bangun daripada kerusi roda lalu berjalan perlahan dalam keadaan berjengket-jengket memasuki ruang perbicaraan.

Tiada penjelasan diberi, dan motif penggunaan kerusi roda oleh Zaim sejak Isnin lalu, sehingga menimbulkan menjadi tanda tanya.

Hari ini merupakan hari ke-15 perbicaraan, dengan beberapa saksi dijangka tampil memberikan keterangan penting.

Semalam, seorang pakar forensik dari Hospital Pasir Gudang, Dr Rohayu Shahar Adnan, memaklumkan kepada mahkamah punca kematian Zayn Rayyan adalah akibat jerutan di leher satu kesimpulan tragik yang menggegarkan prosiding.

Pasangan tersebut kini berdepan pertuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang berisiko mencederakan secara fizikal.

Prosiding dijangka bermula bila-bila masa dari sekarang.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama di sini antara 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here