KUALA LUMPUR – Terdapat dua lagi kes baharu dikesan di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) susulan kejadian membabitkan tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan menerima aduan terbaharu dalam usaha membanteras gejala buli secara menyeluruh.
“Saya mengesahkan bahawa Ketua Pengarah MARA sudah terima dua hingga tiga kes berkenaan buli di MRSM atau IPMa (Institusi Pendidikan MARA) yang mana ia telah berlaku lama sebelum ini.
“Bagaimanapun, kes-kes ini masih dalam peringkat siasatan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, budaya membisu atau menormalisasikan insiden buli tidak boleh dibiarkan kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sahsiah pelajar serta ekosistem pendidikan MARA.
Tegas beliau, pihaknya telah menetapkan pelbagai inisiatif bersifat pencegahan termasuk kursus khas bersama kaunselor, pemantauan secara berkala serta penglibatan langsung pengurusan tertinggi MARA dalam menangani isu tersebut.
“Dalam satu insiden terbaharu di MRSM, tindakan siasatan dan pengesyoran oleh jawatankuasa disiplin dilaksanakan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan diterima.
“Saya juga menyeru kerjasama daripada semua pihak termasuk rakan sebaya dan penghuni asrama bagi menyalurkan maklumat berkaitan kejadian buli supaya tindakan segera dapat diambil.
“Jangan takut dilabel ‘jimbam’ atau ‘mat report’ dan jangan sesekali membiarkan diri atau rakan dibuli dalam apa jua bentuk.
“Kita tidak mahu kes seperti ini hanya diketahui apabila sudah tular setahun kemudian. Kita mahu tindakan segera, adil dan tegas,” katanya.
Dua hari lalu, Jawatankuasa Disiplin MRSM mengesyorkan tujuh pelajar MRSM yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian daripada maktab itu.
Asyraf Wajdi berkata, pejabatnya juga tidak akan melayan rayuan pelaku insiden itu, jika mereka berbuat demikian.
Tujuh pelajar didapati terlibat iaitu dua terlibat buli fizikal manakal lima lagi bersubahat. – MalaysiaGazette