KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha memperkukuh capaian internet berkualiti di institusi pendidikan bawah agensi itu terus dipertingkatkan
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, menerusi kerjasama strategik tersebut, MCMC dan MARA akan berganding bahu mempertingkat kualiti capaian internet di semua institusi pendidikan Mara di seluruh negara termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), GiatMara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Menurut beliau, inisiatif itu akan memudahkan urusan pembelajaran serta mempertingkat sistem penyampaian awam di premis MARA melibatkan dana sebanyak RM200 juta.
“Selain itu, MoU tersebut turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang menggunakan modul baharu khas untuk warga institusi pengajian tinggi, penyediaan khidmat konsultasi bagi menaik taraf liputan mudah alih dan jalur lebar gentian optik serta kajian teknologi di kawasan kurang liputan.
“Kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam memperkukuh pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang.
“Program peningkatan kemahiran serta penyelidikan dalam bidang keselamatan siber juga dirangka untuk melahirkan bakat digital yang memenuhi keperluan industri semasa,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Amazing Syawal UPTM 2025 di sini hari ini.
Majlis pertukaran MoU itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebagai permulaan, MCMC telah membuat pemeriksaan liputan internet di Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Melaka.
Hasilnya, sebuah Portable Base Station telah dipasang sebagai penyelesaian sementara dan pembinaan menara tetap akan dilaksanakan bagi memastikan liputan menyeluruh.
“Kerjasama itu diharap mampu memperkasakan infrastruktur digital Mara, melahirkan pengguna digital yang celik siber dan kompeten dalam bidang ICT, e-dagang serta keselamatan siber,” kata Fahmi lagi. – MalaysiaGazette