PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, tiga waran tangkap telah dikeluarkan kepada bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Jenayah Kuala Lumpur, Nabilla Md. Yusof berkata, ketiga-tiga waran itu dikeluarkan oleh dua Mahkamah Majistret pada 2018.
Menurut saksi pembelaan ke-16 (DW16), dua waran tangkap dipohon oleh pihak polis manakala satu lagi dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika ditanya oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Nabilla bagaimanapun tidak mengetahui sama ada waran tangkap itu telah dikuatkuasakan atau sebaliknya.
“Saya tidak tahu sama ada waran itu telah dilaksanakan kerana tiada pembaharuan dokumen dikemukakan di mahkamah. Sepatutnya, sebarang perkembangan perlu dikemas kini dalam fail mahkamah.
“Tugas saya hanya untuk memproses permohonan waran tangkap dan menetapkan tarikh sebutan, sebarang arahan mahkamah saya tidak tahu kerana tidak berada dalam prosiding tersebut,” ujarnya.
Pegawai mahkamah itu memberikan keterangan pada perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Dalam prosiding itu, Nabilla turut ditanya oleh pihak pembelaan sama ada permohonan waran tangkap masih berkuat kuasa hingga kini dan ia dipersetujui oleh saksi berkenaan.
Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence mencelah dan meminta kepastian hala tuju soalan pihak pembelaan berkaitan waran tangkap berkenaan.
Muhammad Shafee kemudian menjelaskan, keterangan berkaitan waran tangkap itu penting kerana Jasmine Loo merupakan antara pihak yang didakwa bertanggungjawab dalam penyelewengan dana 1MDB.
“Jadi dokumen mahkamah itu menunjukkan Jasmine Loo menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan pertuduhan itu masih tergantung? Pihak pembelaan boleh berhujah mengenainya,” kata Hakim Collin.
Dalam pada itu, Nabilla turut bersetuju dengan soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib bahawa sama ada waran tangkap dilaksanakan atau sebaliknya, bukan tanggungjawab beliau untuk memastikannya.
Saksi juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pertuduhan terhadap Jasmine Loo (seperti yang terkandung dalam waran tangkap), tidak pernah dibacakan di mahkamah.
Akram: Saya katakan, Jasmine tidak pernah didakwa di mahkamah, hanya pertuduhan dilampirkan dalam waran tangkap?
Nabilla: Ya.
Akram: Puan tahu tak, dalam perbicaraan ini, Jasmine Loo turut dipanggil sebagai saksi dan soalan-soalan mengenai pertuduhan terhadapnya telah ditanya dalam prosiding perbicaraan?
Nabilla: Tidak tahu.
Perbicaraan bersambung Selasa ini. – MalaysiaGazette